TOKYO, 23 November – Kuartet 100 meter (m) lelaki negara tetap mempamerkan aksi bertenaga apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan meskipun menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam pada pusingan pertama saringan satu sukan Deaflympics 2025 di Stadium Olahraga Taman Olimpik Komazawa, hari ini.
- Kuartet 4x100m lelaki memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 44.32 saat walau hanya layak keenam pusingan saringan.
- Cuaca sejuk dan angin kuat menjadi cabaran, namun pasukan tetap beri perjuangan penuh menurut Shahrul.
- Perhatian kini tertumpu kepada 4x400m; rombakan dibuat dan misi bawa pulang pingat esok.
Barisan pelari negara terdiri daripada Muhammad Shahrul Azmer Azman, Muhammad Zamir Azman, Muhammad Zumar dan Hazrul Shah Hamri merekodkan masa 44.32 saat (s), sekali gus memperbaharui catatan lama 44.36s yang dilakukan pada Sukan SEA Pekak Jakarta 2025.
Saingan saringan menyaksikan Colombia muncul juara dengan masa 42.11s, diikuti Jepun (42.19s) manakala Ecuador berada di tempat ketiga dengan 42.75s.
Menurut Shahrul, saingan hebat daripada negara gergasi olahraga dunia sudah dijangka lebih awal dalam temasya kali ini.
“Kami memang sudah jangka saingan sukar sebab negara yang bertanding di sini adalah antara yang terkuat. Namun kami sudah berikan segalanya dan cuaca sejuk serta angin kuat turut memberi cabaran kerana ia bukan kebiasaan kami,” katanya.
Mengikut peraturan kejohanan, hanya tiga pasukan terpantas setiap saringan serta dua terbaik keseluruhan layak ke final yang akan berlangsung esok.
Sementara itu, fokus kini beralih kepada acara 4x400m dengan rombakan dilakukan apabila Hazrul digantikan dengan Azlan Kuste dalam misi menyemarakkan cabaran negara di pentas akhir.
Muhammad Zumar pula menyifatkan kejayaan memperbaharui rekod kebangsaan sebagai pembakar semangat untuk aksi seterusnya.
“Kami ambil semua ini sebagai pengalaman dan akan fokus sepenuhnya pada final 4x400m esok dengan tekad membawa pulang pingat untuk Malaysia,” katanya.

