TOKYO, 17 November – Skuad olahraga negara memulakan kempen dengan langkah positif di Deaflympics Tokyo 2025 apabila dua pelari muda, Muhammad Zamir Azman dan Hazrul Shah Hamri, mara ke separuh akhir 100 meter lelaki yang berlangsung di Stadium Komazawa Metropolitan.
Kedua-dua atlet tersebut layak menerusi senarai lapan catatan masa terpantas keseluruhan, meskipun tidak menamatkan saingan saringan dalam kelompok dua terbaik.
Zamir, yang digelar Raja Pecut Pekak Asia Tenggara, mengakui permulaan perlahan menjejaskan rentaknya.
“Saya sedikit leka menunggu isyarat lampu, jadi keluar dari blok agak lambat. Di Jakarta saya buat 11.06s, tetapi cuaca sejuk di Tokyo beri kesan pada badan.Cabaran utama saya nanti dari pelari Amerika Syarikat, Jepun dan Estonia. Apa pun, saya hendak pastikan tempat di perlawanan akhir,” katanya.
Dalam saringan, Zamir mencatat 11.58s, jauh daripada rekod peribadi terbaiknya di Sukan SEA Pekak Jakarta, Ogos lalu.
Hazrul Shah Hamri (kiri)/RTM
Sementara itu, Hazrul yang merekodkan 11.53s, menyifatkan kelayakan ke separuh akhir sebagai pembakar semangat untuk aksi seterusnya.
“Apa juga pesan jurulatih, saya akan ikut. Sasaran saya hendak pecah bawah 11 saat untuk separuh akhir,” ujarnya.
Seorang lagi pelari negara, Muhammad Zumar, kembar kepada Zamir, menamatkan saingan peringkat awal dengan catatan 11.64s. Bagi kategori wanita, Nur Andrina Zainudin gagal mara selepas mencatat 13.49s dalam saringan. Semua atlet yang tersingkir akan meneruskan cabaran dalam acara 200 meter pada Jumaat.