ZURICH, 4 Disember – Sepanyol tidak akan bertemu Argentina, manakala Perancis pula tidak akan berdepan England sebelum perlawanan akhir dengan syarat masing-masing muncul juara kumpulan selepas FIFA mengumumkan prosedur undian baharu pada 25 November lalu.
Peraturan itu bertujuan mengekalkan keseimbangan kompetitif dalam format baharu 48 pasukan, dengan memastikan pasukan ranking tertinggi, Sepanyol dan pasukan kedua terbaik, iaitu juara dunia Argentina, berada dalam laluan berasingan. Perkara sama turut melibatkan pasukan ranking ketiga, Perancis, dan ranking keempat, England.
Buat pertama kali dalam sejarah kejohanan, empat pasukan pilihan teratas tidak akan bertemu sehingga peringkat separuh akhir sekiranya masing-masing mengungguli kumpulan.
Undian rasmi Piala Dunia 2026 akan berlangsung pada 5 Disember di Washington, manakala jadual perlawanan lengkap, termasuk lokasi stadium dan waktu sepak mula, akan diumumkan pada 6 Disember.
Tuan rumah bersama; Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat berada dalam Balang 1 bersama Sepanyol, Argentina, Perancis, England, Brazil, Portugal, Belanda, Belgium dan Jerman.
Balang 2 pula menampilkan Croatia, Maghribi, Colombia, Uruguay, Switzerland, Jepun, Senegal, Iran, Korea Selatan, Ecuador, Austria dan Australia.
Balang 3 merangkumi Norway, Panama, Mesir, Algeria, Scotland, Paraguay, Tunisia, Ivory Coast (Côte d’Ivoire), Uzbekistan, Qatar, Arab Saudi dan Afrika Selatan.
Balang 4 terdiri daripada Jordan, Cape Verde, Ghana, Curacao, Haiti, New Zealand serta pemenang playoff Eropah A, B, C dan D, selain dua pemenang kejohanan Playoff FIFA.
Had pertemuan konfederasi kekal digunakan, tiada kumpulan boleh mempunyai lebih daripada satu pasukan dari benua yang sama, kecuali UEFA yang mempunyai 16 wakil dan boleh meletakkan maksimum dua pasukan dalam satu kumpulan.
Kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada itu akan membuka tirai pada 11 Jun dan berakhir dengan aksi final pada 19 Julai di New Jersey.-REUTERS