SEPANG, 16 September – Pelumba muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan memburu podium pada pusingan akhir Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 di Jerez November nanti, meskipun sudah bergelar juara keseluruhan.
Pelumba berusia 13 tahun itu mencipta sejarah apabila menamatkan musim lebih awal dengan menjuarai kategori ESBK Talent selepas memenangi dua perlumbaan di Litar Estoril, Portugal, Ahad lalu.
Qabil kini mengumpul 252 mata, meninggalkan pencabar terdekat dari Switzerland, Alessio Arnold dengan 191 mata selepas enam pusingan.
Kejayaan itu juga menjadi tonik terbaik buat pelumba kelahiran Terengganu itu yang akan kembali menggalas cabaran negara di pentas FIM MiniGP Dunia Final, apabila menamatkan saingan di tempat kelima tahun lalu.
Menurut Qabil, kejayaan di Portugal hasil daripada persediaan rapi bersama pasukan yang berjaya menemukan ramuan terbaik jentera sejak sesi latihan hingga ke perlumbaan.
“Tahun lalu saya sudah buat kajian kerana pernah berlumba dua kali di Estoril.
“Dari awal lagi saya cuba dapatkan formula terbaik hingga ke sesi kelayakan sebelum beri fokus sepenuhnya pada perlumbaan. Pasukan saya juga banyak melakukan penambahbaikan dari segi jentera termasuk fairing, dan itu menjadikan motor saya lebih baik.” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
Selain menyasarkan penutup musim yang gemilang, Qabil turut berazam menampilkan prestasi lebih mantap di Kejuaraan Dunia MiniGP,
“Saya berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelumba muda Malaysia yang lain,” kata Qabil.

