FIFA umum prosedur undian baharu, empat pasukan teratas dipisahkan

LONDON, 3 Disember – Sepanyol tidak akan bertemu Argentina dan Perancis juga tidak akan berdepan England sebelum perlawanan akhir Piala Dunia, dengan syarat masing-masing menjuarai kumpulan. Ia susulan pengumuman prosedur undian baharu oleh FIFA pada 25 November.

Peraturan itu bertujuan mengekalkan keseimbangan kompetitif dalam format baharu 48 pasukan, memastikan pasukan nombor satu dunia (Sepanyol) dan nombor dua (juara dunia Argentina) ditempatkan dalam separuh jadual yang berbeza. Pendekatan sama turut terpakai kepada pasukan ranking ketiga (Perancis) dan keempat (England).

Buat julung kalinya dalam sejarah kejohanan, empat pasukan pilihan utama tidak akan saling bertemu sehingga peringkat separuh akhir, sekiranya mereka muncul juara kumpulan masing-masing.

Undian rasmi Piala Dunia 2026 akan berlangsung pada 5 Disember di Washington, manakala jadual perlawanan terkini termasuk senarai stadium dan waktu sepak mula akan diumumkan pada 6 Disember.

Tiga negara tuan rumah berada dalam Kumpulan 1 yang turut menampilkan Sepanyol, Argentina, Perancis, England, Brazil, Portugal, Belanda, Belgium dan Jerman.

Kumpulan 2 merangkumi Croatia, Maghribi, Colombia, Uruguay, Switzerland, Jepun, Senegal, Iran, Korea Selatan, Ecuador, Austria dan Australia.

Kumpulan 3 pula menempatkan Norway, Panama, Mesir, Algeria, Scotland, Paraguay, Tunisia, Ivory Coast, Uzbekistan, Qatar, Arab Saudi dan Afrika Selatan.

Kumpulan 4 terdiri daripada Jordan, Cape Verde, Ghana, Curacao, Haiti, New Zealand serta pemenang play-off Eropah A, B, C dan D, selain dua slot pemenang Play-off FIFA 1 dan 2.

Sekatan konfederasi akan terus diguna pakai, dengan setiap kumpulan dihadkan kepada satu pasukan dari rantau yang sama kecuali UEFA, yang mempunyai 16 wakil dan boleh menghantar maksimum dua pasukan dalam satu kumpulan.

Kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada itu akan membuka tirai pada 11 Jun, manakala perlawanan akhir dijadualkan pada 19 Julai di New Jersey.- REUTERS

Hey there! Ask me anything!