Haiti berdepan laluan sukar, dijadual bertemu juara lima kali Piala Dunia

HAITI, 6 Disember – Haiti bakal berdepan laluan sukar apabila diundi dalam kumpulan C yang menyaksikan pasukan negara itu apabila dijadual bertemu juara lima kali, Brazil; Maghribi yang mara ke separuh akhir pada edisi 2022; serta Scotland.

Ia sekali gus menandakan penampilan kedua negara Caribbean itu di pentas terbesar dunia.

Kelayakan Haiti ke Piala Dunia dianggap menakjubkan memandangkan keadaan keselamatan negara itu berada pada tahap kritikal.

Ia susulan kumpulan bersenjata menguasai hampir keseluruhan ibu kota Port-au-Prince, menyebabkan kira-kira 1.3 juta penduduk hilang tempat tinggal dan mencetuskan ancaman kebuluran.

Bahaya yang melanda Haiti turut menyebabkan ketua jurulatihnya, Sebastien Migne, tidak pernah kembali ke negara itu sejak dilantik 18 bulan lalu. Namun, jurulatih dari Perancis itu tetap berjaya membawa pasukan mara secara dramatik — kejayaan kedua Haiti selepas penampilan pertama pada 1974.

Penyokong Bola Sepak Haiti Samuel Registre, menyifatkan undian Kumpulan C Piala Dunia 2026 sebagai cabaran besar buat negaranya, namun tetap berpandangan bahawa ia sebagai suntikan semangat selepas kembali ke pentas dunia selepas 52 tahun.

“Undian ini sebenarnya tidak menguntungkan Haiti. Selepas 52 tahun tidak menyertai Piala Dunia, hari ini kita kembali berada dalam kejohanan yang menghimpunkan 48 negara di seluruh dunia.

“Bagi saya ini sesuatu yang memberikan harapan, dan hari ini kita boleh katakan bahawa kita berada dalam kumpulan bersama Brazil, Morocco dan Scotland.

“Pada 1998, Brazil dan Scotland juga berada dalam kumpulan yang sama. Norway turut serta ketika itu, tetapi tidak pada edisi kali ini.

“Kita tahu Brazil adalah kuasa besar bola sepak dunia. Pertembungan menentang Haiti akan memberi publisiti global kepada pasukan kita dan rakyat Haiti secara keseluruhan,” katanya.

Undian untuk kejohanan yang diperluas kepada 48 pasukan itu — dengan enam slot masih dipertandingkan menerusi siri playoff — berlangsung di Washington D.C., dengan kehadiran pemimpin tiga negara penganjur termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.- REUTERS

Hey there! Ask me anything!