CHENNAI, 5 Disember – Hasrat skuad remaja negara untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik tidak kesampaian selepas tewas 1–3 kepada Afrika Selatan dalam aksi klasifikasi 9 hingga 16 di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai.
Walaupun Malaysia mengawal tempo permainan, namun tiga pukulan sudut penalti yang disempurnakan lawan menjadi pemisah keputusan.
Afrika Selatan mendahului hasil jaringan Jaydon Brooker pada minit ke-18 sebelum mengulangi sentuhan sama pada minit ke-39.
Malaysia kembali merapatkan kedudukan pada minit ke-48 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Aqil Danial, namun ia masih belum cukup untuk mengubah rentak permainan.
Ketika aksi berbaki dua minit, Ross Montgomery sekali lagi menghukum Malaysia juga melalui pukulan sudut penalti bagi memastikan kemenangan buat Afrika Selatan.
Ketua Jurulatih Nor Saiful Zaini Nasiruddin nyata kecewa dengan prestasi para pemainnya selain menjelaskan isu yang sekian lama membelenggu skuad muda negara.
“Kita tidak memiliki pemain yang mampu melakukan penyudahan dengan baik, yang cukup bijak untuk memperoleh pukulan sudut penalti (PC), beraksi dengan sabar dan mendapatkan sesuatu daripada situasi di hadapan gawang. Pemain seperti itu tidak ada dalam pasukan ketika ini. Saya percaya ini antara punca mengapa kita gagal mendapatkan keputusan positif dalam dua perlawanan menentang England dan Afrika Selatan.”
Kekalahan ini menyaksikan Malaysia kini beraksi dalam kelompok 13 hingga 16 bagi menentukan kedudukan akhir kejohanan.