Hoki Piala Dunia Remaja: Young Tigers bermula garang, benam Austria 5-1

MADURAI, 29 November– Malaysia memulakan kempen Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2025 dengan langkah bergaya apabila menewaskan Austria 5-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E di Stadium Hoki Antarabangsa Madurai, India.

Separuh masa pertama berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan berusaha mencari jaringan awal.

Namun, kebuntuan hanya terlerai pada minit ke-28 melalui pukulan sudut penalti Muhammad Harris Iskandar Osman, yang membuka tirai jaringan skuad bimbingan Nor Saiful Zaini.

Memasuki separuh masa kedua, rentak permainan Malaysia semakin tersusun.

Muhammad Adam Asyraf Mohd Johari menambah gol kedua pada minit ke-47 hasil gerakan padang sebelum P. Naaveennesh menjaringkan gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-55.

Austria merapatkan jurang seminit kemudian melalui jaringan Julian Kaiser, namun kebangkitan itu tidak bertahan lama apabila Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar meledak dua gol pantas pada minit ke-56 dan 57 untuk mengesahkan kemenangan 5-1.

Kemenangan itu meletakkan Malaysia di tangga teratas Kumpulan E berdasarkan kelebihan perbezaan bolos, selepas Belanda terdahulu menewaskan England 5-3.

Hey there! Ask me anything!