FLORIDA, 7 Disember– Inter Miami merangkul kejuaraan MLS Cup pertama mereka selepas menewaskan Vancouver Whitecaps 3-1 di Stadium Chase pada Sabtu (6 Disember).
Kemenangan itu hasil jaringan lewat Rodrigo De Paul dan Tadeo Allende yang masing-masing disempurnakan daripada dua bantuan jaringan Lionel Messi.
Walaupun Thomas Mueller menjadi penggerak utama Vancouver yang menguasai permainan dan mencipta lebih banyak peluang, aksi final itu tetap memihak kepada pengaruh Messi untuk mengesahkan gelaran liga MLS sulungnya dan menutup musim terbaiknya di Amerika Syarikat (AS).
Miami membuka tirai jaringan seawal minit kelapan apabila Messi melorongkan bola kepada Allende, sebelum hantaran lintang rendah pemain sayap itu terbias mengenai pertahanan Vancouver, Edier Ocampo, untuk gol sendiri.
Vancouver menggandakan penguasaan bola selepas babak kedua bermula dan berjaya memanfaatkannya pada minit ke-60 menerusi gerakan Ali Ahmed yang merembat rendah ke arah gawang.
Percubaan itu berjaya ditepis Rios Novo namun bola tetap melepasi garisan untuk menyamakan kedudukan.
Miami kembali di hadapan pada minit ke-71 apabila Messi menghidu kesilapan sentuhan pemain lawan dan melorongkan bola ke dalam kotak penalti buat Rodrigo De Paul, yang melepaskan penyudah tenang menewaskan Yohei Takaoka.
Tuan rumah melengkapkan kemenangan mereka pada masa kecederaan apabila Messi sekali lagi membuka ruang buat Allende untuk gol ketiga.
Jaringan akhir itu mencetuskan suasana penuh emosi, dengan Jordi Alba dilihat mengalirkan air mata bersama Sergio Busquets, sahabat lama serta bekas rakan sepasukan di Barcelona menutup tirai aksi terakhir mereka. – REUTERS

