Jelajah Dunia BWF: Aaron-Wooi Yik menang aksi pertama

KUALA LUMPUR, 17 Disember – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuka tirai kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dengan cemerlang selepas menewaskan gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Fajar Alfian dalam saingan Kumpulan B di Hangzhou, China hari ini.

Pasangan di ranking kedua dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk melakar kemenangan 22-24, 21-18, 21-19 dalam tempoh 83 minit.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris itu akan turun menentang pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang esok dalam misi memburu kemenangan kedua bagi mencerahkan peluang mara ke separuh akhir.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tunduk kepada pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 21-23, 19-21.

Wei Chong-Kai Wun akan bertemu pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin pada aksi kedua Kumpulan A esok.

Mengikut format perlawanan, dua beregu terbaik setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir yang dijadual berlangsung Sabtu ini. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.