KUALA LUMPUR, 29 November – Pasukan GG 4×4 dari Binjai Bongkok, Marang, Terengganu sekali lagi mencuri perhatian apabila memilih jentera klasik Land Rover Defender Series 3 88 keluaran 1978 sebagai taruhan untuk bersaing di Rainforest Challenge (RFC) Grand Final 2025 yang bermula hari ini.
Meski usianya hampir mencecah 50 tahun, jentera berkenaan masih mengekalkan hampir keseluruhan spesifikasi asal termasuk enjin 2.5 turbo diesel. Hanya sistem pendawaian elektrik diganti baharu bagi memastikan jentera terus berfungsi dengan selamat sepanjang perlumbaan.
“Walaupun berusia hampir separuh abad, kami tetap yakin dengan kemampuan jentera lumba kami yang mempunyai sejarah panjang bersama kami selama ini.
“Tiada sebarang modifikasi besar-besaran dilakukan di mana kami masih mengekalkan enjin asal dan dan hampir sepenuhnya lain-lain komponen kecuali berkaitan dengan pendawaian elektrik yang sudah dimamah usia perlu ditukar baru,” ujar Tengku Khairul A Rahman selaku pemandu utama pasukan ini yang ditemui sewaktu majlis pelepasan yang berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
Tambahnya lagi, jentera lumba berkenaan juga mempunyai kelebihan untuk beraksi di pelbagai bentuk muka bumi ekstrem di mana-mana negara memberi tambah nilai terbaik untuk hadir berentap memburu kejuaraan.
Melihat pada cabaran yang akan dihadapi nanti, walaupun saingan sengit dilihat memihak kepada pasukan-pasukan dari benua Eropah namun Tengku Khairul A Rahman tetap optimis peluang sama rata untuk setiap pasukan menamatkan setiap perlumbaan tanpa sebarang masalah.
Pasukan tersebut juga mempertaruhkan juruarah termuda yang baru berusia 22 tahun, Muhamad Nasrul Aiman Mohd Azili bagi membantu pasukan untuk meraih podium di pentas antarabangsa kali ini.
“Untuk sukan lasak ini, usia bukan penghalang namun kita tidak boleh nafikan pengalaman tetap menjadi faktor penting buat sesuatu pasukan menamatkan perlumbaan.
“Persiapan lebih awal selama ini menjadi bonus untuk keserasian bersama di dalam pasukan. Jadi jurang faktor usia bukanlah penghalang sepenuhnya,” kata Muhamad Nasrul Aiman Mohd Azili yang telah membuat penampilan pertama di pentas RFC sejak berusia 18 tahun.
RFC yang kini memasuki edisi ke-28 sejak diperkenalkan pada 1997 terus menjadi medan pertemuan pelumba 4×4 dari seluruh dunia.
Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah bagi siri penutup musim, bermula di Lembah Peladang Agro Park, Sungai Buloh sebelum peserta meneruskan cabaran ke pedalaman Gua Musang, Kelantan. Perlumbaan selama tujuh hari ini dijadualkan berakhir pada 10 Disember.
Pasukan GG 4×4 yang dipacu oleh Tengku Khairul A Rahman(kanan) bersama juruarah Muhamad Nasrul Aiman Mohd Azili
Masih mengekalkan enjin asal Land Rover Defender Series 3 88 untuk berentap berkapasiti 2.5 turbo diesel untuk berentap selama 10 hari perlumbaan