Juara Piala Dunia bakal bawa pulang AS$50 juta

DOHA, 18 Disember – Hadiah wang tunai untuk Piala Dunia 2026 dijangka meningkat 50 peratus berbanding Piala Dunia 2022 di Qatar dengan juara bakal membawa pulang AS$50 juta manakala naib juara menerima AS$33 juta.

Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata bagi 16 negara yang gagal melepasi peringkat kumpulan awal, masing-masing akan menerima AS$9 juta, manakala setiap negara yang layak turut berhak menerima AS$1.5 juta untuk menampung kos persiapan.

Menurut Infantino, keputusan itu dicapai pada mesyuarat majlis penting FIFA di Doha, dengan tujuan memberikan motivasi kepada semua peserta untuk memenangi Piala Dunia, walaupun trofi menjadi tumpuan utama.

“Semua orang pasti teruja untuk memenangi Piala Dunia. Bukan kerana wang hadiah, tetapi kerana trofi. Walaupun begitu, wang hadiah ini merupakan tambahan yang baik, dan ia adalah keputusan pertama yang amat penting,” katanya.

Majlis FIFA meluluskan jumlah wang hadiah bagi kejohanan itu dalam satu mesyuarat di Doha pada Rabu, dengan jumlah keseluruhan dana yang disediakan untuk negara bertanding ditetapkan sebanyak AS$727 juta, meningkat 50 peratus berbanding Piala Dunia 2022 di Qatar.

Selain itu, Infantino turut mengumumkan penubuhan tabung pemulihan pascakonflik bagi membantu kawasan yang terjejas akibat peperangan dan konflik di seluruh dunia.

Tabung berkenaan dibuka kepada penderma, sama ada swasta atau kerajaan, bagi memberi sokongan dan sedikit kegembiraan kepada kanak-kanak di kawasan yang paling memerlukan.

“FIFA ingin hadir ketika keamanan tiba untuk memberikan sedikit kegembiraan dan kelegaan kepada kanak-kanak,” tambahnya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.