BERLIN, 14 November – Bekas jurulatih Liverpool, Jürgen Klopp, akan bertugas sebagai penganalisis bola sepak bagi MagentaTV sepanjang Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik perkhidmatan penstriman berkenaan.
- Jürgen Klopp akan menjadi penganalisis bola sepak untuk MagentaTV sepanjang Piala Dunia 2026.
- Klopp mahu mengalami Piala Dunia dari perspektif pakar dan mengakui cabaran kejohanan maraton.
- Beliau berpengalaman dalam penyiaran, pernah bekerjasama dengan ZDF pada 2006 dan Euro 2008.
- MagentaTV akan menyiarkan semua 104 perlawanan Piala Dunia, dengan 44 daripadanya eksklusif.
“Saya benar-benar mahu merasai pengalaman Piala Dunia ini daripada perspektif seorang pakar. Pada masa yang sama, saya sedar bahawa kejohanan maraton ini mempunyai cabaran uniknya tersendiri,” kata Klopp.
Klopp sudah mempunyai pengalaman dalam bidang penyiaran apabila beliau bekerjasama dengan penyiar Jerman ZDF semasa Piala Dunia 2006 dan Euro 2008.
Sebelum ini, MagentaTV telah mengumumkan bahawa juara Piala Dunia 2014,Thomas Müller, turut akan bertugas sebagai penganalisis bagi kejohanan dunia itu.
MagentaTV akan menyiarkan semua 104 perlawanan Piala Dunia tahun depan.Perkhidmatan penstriman berbayar itu memiliki hak eksklusif untuk 44 perlawanan.
Klopp meletakkan jawatan di Liverpool tahun lepas dan sejak awal 2025 beliau berkhidmat sebagai ketua global bola sepak untuk Red Bull, dengan tanggungjawab termasuk mengurus bersama kelab Bundesliga RB Leipzig. – BERNAMA

