KUALA LUMPUR, 3 Disember -Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti semula permohonan Geran Padanan Sukan (GPS) oleh Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) bagi penganjuran Kejohanan WKF Karate1-Series A Kuala Lumpur 2025.
Penilaian semula itu dibuat susulan isu jumlah peruntukan yang dianggap tidak selaras dengan skala kejohanan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, arahan telah diberikan kepada Ketua Setiausaha KBS, Datuk Dr. K. Nagulendran, yang mempengerusikan Jawatankuasa GPS.
Menurutnya, teguran Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad, adalah berasas memandangkan kejohanan tersebut bertaraf dunia.
“Saya tahu Datuk Azmi ditawarkan lagi untuk buat kejohanan tahun depan, tetapi jika dana tidak cukup, memang sukar untuk mereka teruskan.
Saya faham persatuan tak mahu berhutang, jadi saya minta KSU menilai semula geran padanan sukan,” katanya.
Hannah berkata demikian selepas menghadiri Kursus Latihan Asas Sukan (KLAS) Sepak Takraw Perpaduan Kaum 2025, di sini.
MAKAF sebelum ini hanya menerima kelulusan geran RM450,000, sedangkan kos penganjuran sebenar mencecah RM1.5 juta.
Dana berkenaan juga masih belum diterima walaupun kejohanan telah berlangsung.
Kejohanan 2025 menghimpunkan 1,200 atlet dari 82 negara, menjadikannya antara penganjuran terbesar di rantau ini.
Akibat kekangan sokongan kewangan, Datuk Nur Azmi memberitahu, Malaysia terpaksa menolak tawaran WKF untuk menganjurkan satu lagi kejohanan antarabangsa pada tahun hadapan.
Hannah berkata, semakan semula diperlukan bagi memastikan Malaysia tidak terus terlepas peluang menjadi tuan rumah acara WKF.
Beliau turut meminta Jawatankuasa GPS menilai semula komponen tuntutan yang kini tidak dibenarkan, termasuk kos penyiaran.
“Sebagai contoh, kos siaran tidak termasuk dalam tuntutan GPS, sedangkan untuk kejohanan antarabangsa, badan dunia kadang-kadang mewajibkannya. Kos ini besar dan perlu diteliti,” jelasnya.