Kepimpinan baharu KBS, isyarat transformasi pembangunan sukan

GEORGE TOWN, 17 Disember– Kepimpinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini memasuki fasa baharu dengan pelantikan Dr. Mohammed Taufiq Johari bersama timbalannya, Mordi Bimol.

Menerusi tinjauan di Pulau Pinang, gandingan itu disifatkan sebagai ‘signal’ transformasi realistik bagi pembangunan bakat serta persediaan rapi menghadapi temasya Sukan SEA 2027.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri, Daniel Gooi Zi Sen menyifatkan faktor usia menteri yang berusia 29 tahun sebagai kelebihan utama untuk menyelami denyut nadi golongan belia secara lebih dekat.

“Kedua-dua individu tersebut merupakan golongan belia dan saya percaya perkara ini akan membawa dinamik baharu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Saya amat menantikan kerjasama yang lebih erat pada masa akan datang.

Dr. Taufiq yang berusia 29 tahun juga dilihat sangat dekat dengan aspirasi serta realiti golongan belia, sekali gus membolehkannya memahami keperluan dan suara anak muda dengan lebih berkesan,” kata Daniel Gooi kepada pemberita, hari ini.

Nada optimis turut disuarakan komuniti sukan negeri.

“Saya melihat YB ini sebagai seorang yang berjiwa muda. Justeru, golongan muda diyakini mampu membawa impak serta pendekatan baharu kepada pembangunan sukan negara. Menjelang Sukan SEA 2027, saya berharap Malaysia terus cemerlang dan meraih lebih banyak kejayaan,” kata Duta Penang FC, Mohd Faiz Subri.

“Pelantikan ini diharap dapat mencetuskan idea-idea yang lebih segar dan menarik, khususnya kepada golongan muda. Harapan kami di Pulau Pinang agar lebih banyak aktiviti dianjurkan untuk menyasarkan belia, supaya anak-anak muda di negeri ini dapat lebih aktif dan terlibat dalam bidang sukan,” kata Aiman Aziz, kakitangan Penang FC.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.