BARCELONA, 10 November – Robert Lewandowski kembali menyerlah apabila meledak hatrik untuk membantu Barcelona menewaskan Celta Vigo 4-2 dalam aksi La Liga pada Ahad, sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu Real Madrid kepada tiga mata.
Tiga gol penyerang veteran Poland itu membolehkan skuad bimbingan Hansi Flick memanfaatkan keputusan seri 0-0 Real Madrid menentang Rayo Vallecano sebelum itu.
Bintang muda, Lamine Yamal turut mencetak nama selaku penjaring, manakala Marcus Rashford tampil cemerlang dengan dua umpanan gol.
Walaupun Frenkie de Jong dilayangkan kad merah lewat permainan selepas menerima dua kad kuning, kemenangan Barcelona sudah pun terjamin bagi mengukuhkan kedudukan mereka di tangga kedua liga.
Flick berkata hatrik tersebut amat penting untuk meningkatkan keyakinan Lewandowski yang baru pulih daripada kecederaan.
“Selepas kecederaan, saya lihat Lewandowski sangat positif dan kembali dengan semangat tinggi. Untuk keyakinannya, tiga gol hari ini sangat bererti,” kata Flick kepada media.
Lewandowski mengakui perlawanan menentang Celta Vigo bukan mudah.
“Perlawanan ini antara yang paling gila musim ini, tetapi kami gembira dengan keputusan ini. Vigo sentiasa sukar bagi kami, tapi kini kami semakin dekat dengan Real Madrid,” katanya kepada Movistar.
Gol pembukaan Barca hadir seawal minit ke-10 menerusi penalti Lewandowski selepas kesilapan pertahanan Celta, namun lawan segera menyamakan kedudukan seminit kemudian.
Barcelona terus memberikan tekanan dan Lewandowski menambah jaringan keduanya hasil hantaran Rashford pada minit ke-37 sebelum Yamal menjadikan kedudukan 3-2 menjelang rehat babak pertama.
Pada separuh masa kedua, Barca lebih tenang mengawal permainan dan Lewandowski menutup malam gemilangnya dengan tandukan untuk gol ketiga peribadi pada minit ke-73.
Kini berusia 37 tahun, penyerang prolifik itu telah menjaringkan tujuh gol liga musim ini dalam hanya empat penampilan.
“Saya rasa sangat baik secara fizikal hari ini dan gembira dapat membantu pasukan. Selepas rehat dua minggu ini, saya harap kami akan kembali lebih kuat,” tambahnya. -AFP