Liga Sepanyol: Barcelona belasah Athletic Bilbao

BARCELONA, 23 November -Gergasi La Liga, Barcelona meraikan kepulangan kelab bekenaan ke Camp Nou dengan kemenangan bergaya ke atas Athletic Bilbao 4-0 pada Sabtu.

Barcelona yang sebelum ini bermain di gelangang sementara selama hampir dua setengah tahun membuka jaringan menerusi Robert Lewandowski pada minit ke-4 hasil kesilapan pertahanan Bilbao.

Selepas jaringan berkenaan, Barcelona dilihat mendominasi perlawanan dengan serangan dan gerakan berbahaya.

Usaha berkenaan berhasil apabila Ferran Torres menjaringkan gol kedua Barcelona selepas mendapat umpanan Yamal.

Torres dengan tenang merembat masuk menewaskan penjaga gol Bilbao, Unai Simon pada minit-minit akhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, Barcelona meneruskan penguasaan permainan sehingga memaksa pertahanan Bilbao kerap melakukan kesilapan.

Pemain Barcelona Fermin Lopez menghukum kecuaian pertahanan Bilbao dengan jaringan ketiga pada minit ke-48.

Nasib malang Athletic Bilbao berterusan apabila pemainnya, Oihan Sancet dilayangkan kad merah pada minit ke-53 selepas melakukan terjahan kasar terhadap Lopez.

Ferran Torres terus menambah derita Bilbao dengan gol keempat Barcelona hasil serang balas yang dmulakan oleh Lamine Yamal.

Kemenangan itu menyaksikan Barca melonjak ke puncak kedudukan LaLiga dengan 31 mata menyamai mata diperolehi Real Madrid.

Namun kedua-dua pasukan dipisahkan dengan perbezaan jaringan.-REUTERS

Hey there! Ask me anything!