PETALING JAYA, 23 November – Selangor FC kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, pada Sabtu.
- Selangor kembali menang 2-0 ke atas Kelantan TRW di Stadium MBPJ, memecah rentak tanpa kemenangan.
- Gol oleh Alvin Fortes (min 21) dan Chrigor Moraes (min 55) memastikan kemenangan dan semangat pasukan.
- Kelantan bermain dengan 10 orang selepas kad merah kedua untuk Abdul Sesay, menjejaskan usaha kebangkitan mereka.
Selepas melalui beberapa perlawanan tanpa kemenangan, Merah Kuning tampil agresif untuk kekal dalam persaingan kelompok tiga teratas liga.
Pengendali Selangor, Christophe Gamel, terus mempertaruhkan trio serangan Alvin Fortes, Chrigor Moraes dan Faisal Halim, manakala Abdul Sesay diberi tanggungjawab mengetuai jentera serangan Kelantan TRW bagi menggantikan kapten mereka, Ifedayo Olusegun.
Selangor tampil lebih bertenaga pada babak pertama dengan beberapa percubaan awal daripada Fortes, Moraes dan Faisal.
Pemain Selangor FC, Alvin Mateus Fortes (kanan) berjaya menjaringkan gol pertama pasukan Selangor FC pada perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium MBPJ/BERNAMA
Usaha agresif itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-21 apabila Fortes mudah menewaskan penjaga gol pelawat, Damyan Damyanov untuk menjadikan kedudukan 1-0.
Walaupun terus mengasak, Selangor gagal menambah jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, sokongan padu penyokong tuan rumah menyemarakkan lagi serangan Selangor.
Pemain Selangor FC, Chrigor Flores Moraes (tengah) ketika diasak Pemain Kelantan The Real Warriors FC pada perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium MBPJ/BERNAMA
Chrigor Moraes menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-55 selepas memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan Kelantan TRW.
Lima minit kemudian, Kelantan TRW terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Abdul Sesay dilayangkan kad kuning kedua.
Kelantan hampir merapatkan jurang melalui Sean Selvaraj pada minit ke-66, namun percubaannya berjaya disekat pertahanan Selangor, Richmond Ankrah.
Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus mengekalkan Selangor di tangga keempat dengan 16 mata. Kelantan TRW pula terus kekal di tangga ketujuh dengan 11 mata.
Selepas ini, Selangor akan berdepan Penang FC pada 7 Disember, manakala Kelantan TRW berehat sebelum turun menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 20 Disember.

