KUALA NERUS, 6 Disember – Perlawanan sengit dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam tadi menyaksikan Terengganu FC (TFC) dan Kuching City FC berkongsi satu mata, selepas seri satu sama.
Ketua Jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali berkata beliau menyasarkan tiga mata pada aksi tersebut.
“Sebenarnya, hajat saya malam ini adalah untuk tiga mata. Separuh masa pertama kami kurang agresif, tapi separuh masa kedua pemain cuba bermain lebih terancang. Kuching City FC pasukan kuat, tapi saya tetap menghargai usaha pemain dan fokus mereka,” katanya di sini.
Badrul Afzan mengakui pencarian dan memerlukan pemain baru terutama tenaga import berwibawa jika berhasrat untuk berada antara lima pasukan terbaik di dalam kedudukan liga musim ini.
Sementara itu bagi Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak pula, pasukannya kini dalam usaha menambah baik dan mengatasi kelemahan beberapa ruang posisi dalam menghadapi perlawanan seterusnya.
“Perlawanan malam ini bukan mudah, selepas bertemu JDT, kami beri tenaga maksimum, walaupun hanya ada tiga hari untuk pulih, saya gembira dengan sikap pemain,” katanya.
Selepas berkongsi mata, kedua-dua pasukan itu kini menilai secara strategi untuk menghadapi baki pusingan kedua pada perlawanan Liga Super musim ini.