LIVERPOOL, 5 Disember – Liverpool kini berada dalam kedudukan yang kurang memuaskan dan bertekad untuk kembali ke tangga empat teratas Liga Perdana Inggeris, kata pengurusnya, Arne Slot, selepas hanya meraih dua kemenangan dalam sembilan perlawanan liga terakhir mereka.
Liverpool kini berada di kedudukan kesembilan dengan 22 mata daripada 14 perlawanan, ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu Arsenal.
“Matlamat utama kami sudah pasti untuk kembali ke empat teratas kerana kami jelas tidak berpuas hati dengan kedudukan sekarang,” kata Slot kepada wartawan menjelang pertemuan pada Sabtu menentang Leeds United.
Prestasi hambar Liverpool berterusan walaupun menghabiskan £446 juta (AS$594.52 juta) dalam jendela perpindahan musim panas.
Slot bagaimanapun menekankan perkembangan positif daripada pemain baharu, termasuk Florian Wirtz, Milos Kerkez dan Alexander Isak, yang menunjukkan peningkatan yang konsisten.
“Ada perkara positif daripada pemain yang dibawa masuk pada musim panas, Florian mungkin yang paling jelas, tetapi saya juga melihat perkara sama dengan Milos Kerkez.
“Alex pula menjaringkan gol pertamanya dalam satu perlawanan lalu. Jadi ada perkembangan positif yang boleh diambil kira, tetapi sudah tentu kami masih belum di tahap yang diingini,” kata pengurus berusia 47 tahun itu.
Perhatian turut tertumpu kepada Mohamed Salah, yang menjaringkan lima gol dalam 19 penampilan musim ini, selepas beliau diketepikan dalam kemenangan 2-0 Liverpool ke atas West Ham United dan hanya menjadi pemain simpanan dalam keputusan seri 1-1 menentang Sunderland.
Slot menegaskan pemain sayap berusia 33 tahun itu masih menjadi elemen penting dalam rancangan beliau.
“Dia sentiasa dalam fikiran saya untuk bermula atau masuk sebagai pemain gantian.
“Perbincangan itu wajar kerana dia telah menjadi pemain penting untuk kelab dan rakan sepasukannya selama enam atau tujuh tahun. Itu sesuatu yang normal, ” tambah Slot.
Slot turut mengesahkan Conor Bradley sudah kembali berlatih dan mungkin tersedia untuk dipilih, manakala Joe Gomez, yang mengalami kecederaan ketika menentang West Ham, kini juga kembali berlatih bersama pasukan.
Dengan Liverpool kini ketinggalan dua mata di belakang Chelsea di tangga keempat liga, Slot memberi tumpuan kepada ujian fizikal Sabtu ini menentang Leeds United, yang berada di kedudukan ke-17.
“Kami tahu apa yang dijangka, tetapi apa yang dijangka adalah apa yang telah kami hadapi, kecuali dalam dua perlawanan,” menurut Slot.-REUTERS