KUALA LUMPUR, 5 Disember – Malaysia diumumkan sebagai tuan rumah Sukan Universiti ASEAN (AUG) Edisi ke-22 yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 20 Disember 2026.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan temasya dwitahunan itu bakal menghimpunkan kontinjen dari 11 negara ASEAN yang akan berkampung di sekitar Lembah Klang.
“Lima universiti dipilih sebagai venue pertandingan utama, iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” menurut kenyataan itu.
Sebanyak 25 acara sukan disenaraikan untuk dipertandingkan, merangkumi sukan teras seperti bola sepak, badminton, olahraga, renang dan hoki; sukan kombat termasuk silat, taekwondo, karate dan judo; serta pelbagai sukan lain seperti catur, memanah, sepak takraw, ragbi 7’s, tenpin boling dan skuasy.
Antara venue utama ialah Dewan Badminton HEP UiTM, Stadium UPM bagi acara olahraga, serta Pusat Akuatik Shah Alam/TAR UMT bagi pertandingan renang dan terjun.
AUG mula diperkenalkan pada 1981 di Chiang Mai, Thailand. Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah buat kali pertama pada 1984 di Bangi, Selangor.
Kontinjen negara turut meraih kejayaan sebagai juara keseluruhan pada dua edisi iaitu di Kuala Lumpur 2008 dan Vientiane, Laos pada 2012.
Sempena penganjuran edisi 2026, beberapa acara rasmi turut dijadualkan, termasuk Majlis Pelancaran pada 4 Disember 2025 di Vivatel Hotel Kuala Lumpur; Upacara Menaikkan Bendera Kontinjen pada 30 November 2026; Majlis Perasmian pada 10 Disember 2026; dan Majlis Penutup pada 20 Disember 2026, masing-masing berlangsung di Stadium UiTM.
AUG 2026 telah dimasukkan dalam takwim acara sukan utama negara dan dijangka memperkukuh reputasi Malaysia di pentas sukan universiti serantau.

