PUTRAJAYA, 5 Disember – Malaysia akan menganjurkan Sukan SEA 2027 dari 18 hingga 29 September, melibatkan empat negeri iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur, dengan 38 jenis sukan dipertandingkan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyatakan pemilihan tarikh temasya itu telah mengambil kira musim cuti universiti serta keadaan cuaca yang masih stabil, sebelum bermulanya musim tengkujuh.
“Tarikh yang dipilih secara strategik kerana 18 September merupakan musim cuti universiti, manakala dari sudut meteorologi tempoh ini masih sebelum bermulanya musim tengkujuh sekali gus memastikan keadaan cuaca lebih stabil untuk penganjuran sukan luar.
“Penetapan tarikh ini juga dibuat bagi memastikan temasya berlangsung selepas Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serta tidak bertembung dengan sebarang acara besar yang lain,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 di Putrajaya.
Tambah beliau lagi, Sarawak dipilih sebagai kluster utama dan akan menganjurkan upacara pembukaan, dengan 17 sukan dipertandingkan termasuk akuatik, angkat berat, bola keranjang, e-sukan, gimnastik, memanah, menembak, skuasy, taekwondo, tenis dan wushu.
Manakala Pulau Pinang menjadi tuan rumah untuk enam sukan iaitu sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, pingpong dan floorball. Johor pula hanya menganjurkan bola sepak.
Sementara itu, Kuala Lumpur akan menjadi lokasi upacara penutup, melibatkan 14 sukan seperti badminton, berbasikal (Velodrom Nasional, Nilai), bola tampar, hoki, karate, olahraga, ragbi, lawan pedang, ski air dan pelayaran di Langkawi.
“Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersama Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) akan membentangkan senarai penuh 38 sukan ini kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada Isnin ini di Bangkok,” katanya.
Dalam pada itu, Sukan Para ASEAN ke-14 pula dijadual berlangsung dari 17 hingga 23 Oktober 2027 di Kuala Lumpur, merangkumi 18 sukan termasuk renang para, badminton para, berbasikal para, boccia, goalball, olahraga para, ping pong para, powerlifting, tenis berkerusi roda dan tenpin boling para.