ALOR GAJAH, 17 September– Melaka bakal memperkenalkan sukan khas untuk anak-anak istimewa bermula tahun depan.
Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri, Datuk VP Shanmugam berkata ia bagi memberi ruang dan peluang untuk anak-anak berkenaan menyertai pertandingan yang sesuai dengan keupayaan mereka.
Sebagai permulaan, pihaknya bercadang akan menganjurkan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sekiranya mendapat sambutan yang baik, ia akan diperluas ke peringkat parlimen dan negeri.
“Dalam masa terdekat, saya akan memanggil semua persatuan yang mempunyai atau menguruskan anak-anak kurang upaya (anak istimewa/special children) bagi membincangkan penganjuran satu acara sukan pada tahun hadapan.
Keputusan ini adalah hasil mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang lalu, di mana YAB telah meminta agar sukan untuk golongan istimewa ini turut diadakan,” kata Datuk VP Shanmugam kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Taekwando Antarabangsa Jemputan MITF Malaysia 2025, di sini.
Sebelum ini, Melaka telah menganjurkan tiga temasya sukan utama iaitu Sukan Melaka, Sukan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) serta Sukan Badan Beruniform.

