WASHINGTON, 5 Disember – Ketibaan pemain elit seperti Lionel Messi telah membantu mengukuhkan kedudukan bola sepak dalam pasaran sukan Amerika Syarikat (AS) yang sangat kompetitif, kata Pesuruhjaya Major League Soccer (MLS), Don Garber.
Menurut Garber, bola sepak sudah lama bergelut untuk menarik perhatian dalam landskap sukan AS, yang dikuasai besbol dan bola keranjang.
Garber berkata kemajuan ketara dicapai dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dipacu sebahagiannya oleh kehadiran Messi, yang menyertai Inter Miami pada 2023 selepas meninggalkan Paris Saint-Germain. Messi adalah pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali.
“Di atas padang, liga kami kini lebih global berbanding sebelum ini.
“Kami mempunyai pemain dari 80 negara, lebih banyak daripada mana-mana liga dalam mana-mana sukan di dunia dan bintang-bintang global, seperti yang kita semua tahu, memilih MLS sebagai liga pilihan mereka,” kata Garber pada sidang akhbar pada Khamis.
Garber turut membicarakan tentang perlawanan akhir Piala MLS pada Sabtu di Florida, yang menyaksikan Miami pimpinan Messi menentang Vancouver Whitecaps, pasukan yang dibarisi juara dunia 2014 Jerman, Thomas Mueller.
“Pemain terhebat yang pernah beraksi, Messi, akan berdepan seorang lagi juara dunia dan antara pemain paling berpenghargaan di dunia, Thomas Mueller, dalam apa yang kami harap menjadi perlawanan yang epik,” kata Garber.
Tambah Garber, sukan bola sepak semakin mendapat tempat dalam kalangan penonton muda.
“Kini bola sepak menjadi sukan kedua paling digemari untuk ditonton oleh rakyat AS di bawah usia 40 tahun, selepas besbol.
“Ini pencapaian luar biasa oleh komuniti bola sepak di negara ini. Kami berada di tengah perubahan generasi yang dramatik, ” katanya.-REUTERS