MEXICO CITY, 3 Disember – Mexico akan menjadi tuan rumah kepada Portugal dalam aksi persahabatan pada 28 Mac, yang menandakan pembukaan semula Stadium Azteca yang telah dinaik taraf dan dikenali sebagai Stadium Mexico City menjelang penganjuran Piala Dunia 2026.
Persekutuan Bola Sepak Mexico dalam satu kenyataan pada Selasa (2 Disember) turut memaklumkan bahawa skuad negara itu akan berdepan Belgium di Soldier Field, Chicago, tiga hari kemudian sebagai sebahagian daripada rangka dua perlawanan pemanas badan menjelang Piala Dunia.
Stadium kebangsaan Mexico itu telah menjalani proses naik taraf besar-besaran, termasuk pemasangan tempat duduk baharu, ruang hospitaliti lebih moden serta kemudahan media serba lengkap.
Dengan pembukaan semula ini, venue ikonik berkenaan bakal menjadi stadium pertama dalam sejarah yang menganjurkan perlawanan Piala Dunia sebanyak tiga kali, selepas menjadi tuan rumah edisi 1970 dan 1986.
Stadium Mexico City dijadualkan menganjurkan lima perlawanan pada Piala Dunia 2026, yang dianjurkan bersama Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada. Kejohanan 48 pasukan itu akan membuka tirai pada 11 Jun, manakala undian peringkat kumpulan akan berlangsung di Washington D.C. pada Jumaat (5 Disember).- REUTERS