KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Tiada sebarang pemalsuan dokumen dikesan dalam proses permohonan kewarganegaraan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melibatkan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, dakwaan pemalsuan dokumen seperti dinyatakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak merujuk kepada dokumen yang dikeluarkan oleh JPN.
“Apabila FIFA sebut ada pemalsuan dokumen, ia bukan merujuk kepada dokumen daripada kita (JPN). Tiada. Dokumen kita hanya satu, iaitu sijil lahir,” katanya pada sidang media selepas sesi jawab lisan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut menjelaskan, bagi permohonan kewarganegaraan kategori warga asing sepenuhnya, dokumen sijil kelahiran tidak diperlukan daripada pemohon.
Sebaliknya, beliau berkata, Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan menetapkan tiga syarat utama bagi permohonan kewarganegaraan iaitu bermaustatin dalam negara bagi tempoh munasabah, memiliki pengetahuan Bahasa Melayu yang mencukupi serta berkelakuan baik.
“Bawah Seksyen 10(A) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, jika Pendaftar Besar (Ketua Pengarah JPN) berpuas hati dengan maklumat diperoleh melalui temu duga dan sebagainya, maka seksyen itu membolehkan JPN mengeluarkan dokumen pendaftaran kelahiran,” jelasnya.