LIMA, 29 November – Palmeiras menjalani sesi latihan terakhir di Lima pada Jumaat menjelang aksi final Copa Libertadores menentang Flamengo yang akan berlangsung di Stadium Monumental pada Sabtu.
Penjaga gol utama, Weverton, kembali menyertai latihan selepas pulih daripada kecederaan, sekali gus melegakan kem Brazil itu yang memburu gelaran ketiga dalam tempoh lima tahun.
Menurut laporan media tempatan, barisan utama Verdao dijangka terdiri daripada Khellven, Gustavo Gomez, Murilo, Joaquín Piquerez, Allan, Andreas Pereira, Raphael Veiga, Felipe Anderson atau Sosa, Jose Manuel ‘Flaco’ Lopez dan Vitor Roque.
Di luar padang, ratusan penyokong Palmeiras membanjiri bandar Lima sambil menyanyikan lagu sorakan dan meramalkan kemenangan pasukan.
“Saya rasa kami akan menang… mungkin 2–0,” kata salah seorang penyokong, Victor Pires.
Final ini menandakan penampilan ketiga Palmeiras dalam lima tahun selepas muncul juara pada 2020 (menewaskan Santos) dan 2021 (menewaskan Flamengo).
Sementara itu, Flamengo kembali ke venue yang cukup bersejarah bagi mereka, iaitu stadium yang sama ketika memenangi final Libertadores 2019 menentang River Plate. -REUTERS