Piala Dunia 2026 : Perancis bertemu Senegal dalam Kumpulan I

WASHINGTON, 6 Disember – Perlawanan pertama Perancis di Piala Dunia 2026 bakal menyaksikan mereka menentang Senegal, mengimbau kembali salah satu kejutan terbesar dalam sejarah kejohanan apabila Senegal mengejutkan juara bertahan pada perlawanan pembukaan edisi 2002.

Kumpulan I turut menyaksikan pertembungan antara bintang Perancis, Kylian Mbappe, dan penyerang Norway, Erling Haaland, dalam pertarungan dua pencabar utama bagi anugerah Kasut Emas. Pasukan terakhir dalam kumpulan ini akan ditentukan oleh pemenang playoff antara Iraq dan Bolivia atau Suriname.

Sementara itu, juara bertahan, Argentina, yang menewaskan Perancis melalui penalti pada final 2022, diundi dalam Kumpulan J bersama Algeria, Austria dan Jordan selepas undian di Washington D.C. pada Jumaat.

Ketua jurulatih beberapa pasukan gergasi dunia memberi pandangan mereka mengenai laluan dan cabaran menanti di Piala Dunia FIFA 2026, selepas undian kumpulan selesai dijalankan pada Jumaat.

Ketua Jurulatih Perancis, Didier Deschamps, berkata pertembungan awal pasukannya menentang Senegal membawa memori indah bagi lawan dan menegaskan hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara.

“Ramai pemain mempunyai dua kewarganegaraan, pernah bermain di Perancis atau kelab Perancis, atau mengenali pemain Perancis. Dari pihak mereka, sudah tentu ada motivasi tambahan apabila berdepan Perancis,” katanya.

Mengenai pertembungan dengan Norway, Deschamps mengakui pasukan itu berprestasi cemerlang dalam pusingan kelayakan dan memiliki pemain berbakat seperti Erling Haaland dan Alexander Sorloth.

“Dengan Haaland dan Alexander Sorloth di bahagian serangan, mereka mampu menjaringkan banyak gol. Mereka mempunyai pemain di kelab-kelab terbaik Eropah. Kami bercita-cita tinggi tetapi dengan rendah diri, dan perlu menampilkan prestasi terbaik dari awal sebelum memikirkan perlawanan seterusnya,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Senegal, Pape Thiaw, berkata pertembungan menentang Perancis adalah pengalaman menarik dan bersejarah.

“Kami mengenali negara ini dengan baik, ibarat saudara bagi kami. Saya dibesarkan di Senegal dan kemudian ke Perancis, belajar banyak perkara di sana. Kini saya membela warna negara saya. 24 tahun kemudian, kami kembali berdepan Perancis. Perlawanan ini pasti sukar, tetapi kami akan bersedia sepenuhnya,” katanya.

Bagi Ketua Jurulatih Norway, Stale Solbakken, pula menyorot pertembungan dua bintang, Haaland dan Kylian Mbappe, sebagai pertarungan dua pemain terbaik di Eropah pada masa kini, dengan harapan Haaland mengekalkan prestasi cemerlang.

Manakala Ketua Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni pula memberi amaran bahawa pasukan tidak boleh mengambil mudah perlawanan, walaupun mereka adalah juara bertahan.

“Kami berharap dia (Lionel Messi) membuat keputusan sendiri. Setakat ini, tiada kepastian, tapi dari segi teori semuanya berjalan lancar. Kami akan menyokong apa sahaja keputusan beliau,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, memuji pemain muda Lamine Yamal, menyifatkannya sebagai aset penting pasukan kebangsaan dan yakin pemain berusia 18 tahun itu akan ke Piala Dunia dengan motivasi dan semangat tinggi.- REUTERS

Hey there! Ask me anything!