Piala Dunia : Amerika Syarikat sedia hadapi cabaran Kumpulan D

WASHINGTON, 6 Disember – Ketua jurulatih pasukan kebangsaan lelaki Amerika Syarikat (AS) Mauricio Pochettino, menekankan pemain pasukan itu perlu menghadapi setiap perlawanan seperti perlawanan akhir Piala Dunia, selepas undian meletakkan AS dalam Kumpulan D bersama Paraguay, Australia dan pemenang playoff Eropah yang masih belum ditentukan.

Pochettino menegaskan, fokus utama pasukannya adalah pada perlawanan yang akan datang, bukannya memikirkan kemenangan awal atau mengambil mudah lawan.

“Mesej saya kepada pemain adalah Paraguay, Australia dan pasukan lain (pemenang playoff) akan menjadi sukar. Kita perlu bersedia seolah-olah setiap perlawanan adalah final Piala Dunia. Berfikir bahawa kita akan menang sebelum bermain adalah mentaliti yang salah,” kata Pochettino kepada pemberita pada Jumaat.

Jurulatih berusia 53 tahun itu menambah, pemain perlu menumpukan sepenuhnya kepada perlawanan pertama, kedua dan ketiga dalam peringkat kumpulan, memastikan mereka memberi prestasi terbaik untuk mara ke peringkat seterusnya.

Pochettino turut merujuk kejayaan terkini Argentina sebagai juara bertahan Piala Dunia untuk memberi contoh mentaliti yang sepatutnya diterapkan pemain Amerika Syarikat.

“Sekiranya anda Argentina, juara Piala Dunia terkini, anda mungkin berfikir sedikit tentang peringkat kumpulan. Tetapi dengan Amerika Syarikat, kami perlu menganggap perlawanan pertama adalah final, perlawanan kedua juga final, dan ketiga juga; itu sahaja yang perlu difikirkan. Selepas perlawanan pertama, tiada peluang lain. Itu mentaliti yang ingin kami bina,” jelasnya.

Amerika Syarikat akan memulakan kempen Piala Dunia menentang Paraguay pada 12 Jun di SoFi Stadium, Inglewood, California, berhampiran Los Angeles, manakala perlawanan kedua dalam kumpulan menentang Australia dijadual pada 19 Jun di Seattle. Pasukan itu akan kembali ke Inglewood pada 25 Jun untuk menentang pasukan Eropah yang akan diketahui selepas playoff pada akhir Mac.

Piala Dunia 2026 akan bermula pada 11 Jun di Mexico City, dengan lokasi dan waktu perlawanan untuk semua perlawanan dijangka diumumkan pada 6 November.- REUTERS

Hey there! Ask me anything!