KUALA LUMPUR, 10 November – Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) meletakkan sebelah kaki ke pentas akhir Piala FA selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kuching City FC pada aksi separuh akhir pertama yang berlangsung sengit di Stadium Negeri di Sarawak, malam tadi.
Bertandang ke tempat lawan, skuad Harimau Selatan terdahulu memecah kebuntuan menerusi penyudah kemas penyerang import berbisa, Bergson da Silva yang menerima hantaran tepat daripada rakan sepasukan pada minit ke-36.
Bersambung babak kedua, JDT menjarakkan kedudukan apabila Bergson sekali lagi menghukum kelalaian benteng pertahanan tuan rumah dengan jaringan kedua pada minit ke-49.
Tersentak dengan dua gol itu, Kuching City bagaimanapun bangkit merapatkan jurang menerusi sepakan kemas Petrus Shitembi pada minit ke-68, namun usaha mereka untuk mencari gol penyamaan tidak berhasil sehingga wisel penamat ditiup.
Kemenangan di tempat lawan memberikan kelebihan awal buat JDT menjelang aksi separuh akhir kedua yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) hujung bulan ini. -BERNAMA