GUA MUSANG, 6 Disember – Momentum pasukan kerdil dari Terengganu, GG 4×4 yang mempertaruhkan ‘aliroba buruk’ Land Rover Defender Series 3 88 berusia hampir separuh abad masih kekal utuh untuk menghabiskan baki-baki perlumbaan Rainforest Challenge Grand Final 2025 yang dijadulkan berakhir pada Rabu ini di Gua Musang, Kelantan.
Setelah menempuh lima hari perlumbaan sejak 2 Disember lalu untuk 24 peringkat cabaran(SS) di dalam hutan belantara, GG 4×4 hanya mencatatkan sekali sahaja ‘DNS’ setelah jentera mereka mengalami masakal teknikal untuk memulakan perlumbaan di SS 16 pada hari pertama perlumbaan di Gua Musang.
“Sepanjang perlumbaan yang masih berbaki beberapa lagi, hanya sekali untuk kami mengutip DNS pada hari pertama perlumbaan di Gua Musang ini disebabkan masalah teknikal. Satu rekod yang tidaklah mengembirakan kami namun masih boleh berpuas hati oleh kerana terdapat lain-lain pasukan yang mengalami masalah lebih teruk dari kami untuk menamatkan perlumbaan.
“Walaupun jentera lumba kami amat berusia namun sehingga kini masih tidak mengecewakan kami untuk hadir memberi cabaran kepada pasukan-pasukan yang lebih hebat dengan jentera yang lebih moden untuk memburu kejuaraan di sini.
“Motivasi pasukan masih di tahap yang terbaik walaupun kadang kala diuji dengan situasi di luar jangka yang memaksa mekanik-mekanik berhempas pulas memperbaiki jentera dalam serba kekurangan. Melihat pada situasi semasa, kami mempunyai peluang untuk menaiki podium nanti,” ujar ujar Azili Safeei selaku pengurus pasukan yang berpangkalan dari Marang, Terengganu ini.
Tambahnya lagi, sehingga kini peluang masih sama rata buat setiap pasukan bertanding walaupun faktor cuaca bakal memberi cabaran berganda di dalam hutan belantara itu nanti.
Selain pasukan-pasukan tempatan, turut hadir memberi cabaran adalah pasukan antarabangsa dari Rusia, Poland dan Latvia yang menghimpunkan keseluruhan 22 jentera pasukan.
RFC Grand Final 2025 yang dijadualkan melabuhkan tirai pada 10 Disember 2025 nanti merupakan siri terakhir perlumbaan lasak jentera 4×4 bagi musim ini setelah berlangsung di beberapa negara benua sepanjang tahun ini.
Azili Safeei yang juga merupakan bekas pelumba Rainforest Challenge edisi terdahulu kini galas tanggungjawab selaku pengurus pasukan GG 4×4
Pasukan sokongan teknikal GG 4×4 yang dibarisi oleh mekanik-mekanik muda berpengalaman besar menjadi tambah nilai buat pasukan yang mempertaruhkan jentera Land Rover Defender Series 3 88