RHITAC 2025 platform lahir atlet taekwondo berbakat

MIRI, 6 Disember – Penganjuran Kejohanan dan Jemputan Taekwondo RHITAC 2025 peringkat daerah Miri diyakini mampu membentuk disiplin, jati diri dan keyakinan diri dalam kalangan peserta selain membuka peluang untuk mereka melangkah lebih jauh dalam bidang sukan hingga ke peringkat antarabangsa.

Ahli Parlimen Sibuti yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, taekwondo bukan sekadar sukan pertandingan, malah merupakan seni mempertahankan diri yang menekankan nilai etika, kawalan diri dan persahabatan.

“Tahniah dan penghargaan kepada para ibu bapa kerana memberi sokongan penuh kepada penglibatan anak-anak dalam sukan taekwondo, terutama dalam era digital yang dipenuhi pengaruh media sosial dan permainan dalam talian.

“Penganjuran kejohanan ini akan terus melahirkan lebih ramai atlet taekwondo berbakat dari Miri dan Sarawak, sekali gus mengharumkan nama negara di persada sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan dan Jemputan Taekwondo RHITAC 2025 Peringkat Daerah Miri yang berlangsung di Dewan Intrim ADTEC JTM Kampus Miri di sini.

Dalam pada itu beliau turut menginatkan bahawa para atlet tidak menyalahgunakan ilmu yang dipelajari untuk membuli atau menunjukkan kekuatan secara negatif.

Kejohanan yang mempertandingkan kategori Team Pattern, Individu Pattern dan Individu Sparring itu melibatkan penyertaan daripada 22 sekolah rendah di Daerah Subis, lapan sekolah menengah serta lima tadika.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pengarah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) merangkap Presiden Malaysia Global Taekwon-Do Federation (MGTF) Grandmaster Datuk Amir Md Noor; Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri, Ariffin Mohamad.

Turut hadir Pegawai Belia dan Sukan Jabatan Belia dan Sukan Miri Roley Lagir, Presiden Sabah State Taekwon-Do Association (SSTA) Senior Master Christopher Wee serta Presiden Kelab Taekwondo Tunas merangkap Penasihat Kelab RHITAC Sabum Zaidi Morshidi.

Hey there! Ask me anything!