RMSIR 2025: Raja Muda Selangor curi tumpuan dalam perlumbaan sulung ‘Harbour Race’

GEORGE TOWN, 19 November – Prestasi cemerlang Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah terus mencuri perhatian pada perlumbaan sulung ‘Harbour Race’ sempena Regata Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2025 di Pulau Pinang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, menyerlah dalam perlumbaan sulung ‘Harbour Race’ RMSIR 2025 di Pulau Pinang.
  • Maduzi bangkit dari kedudukan keempat dan kini berpotensi naik ke podium.
  • Pengerusi RMSIR 2025, Irsyad Ismail, puji prestasi walau angin mencabar.
  • Perlumbaan sembilan hari bermula 14 November dengan 23 pasukan bersaing.
  • RMSIR, dimulakan 1990, adalah regata kedua tertua di Asia dan masih diteruskan hingga kini.

Baginda yang mengemudi kapal Maduzi bangkit daripada kedudukan keempat dan kini berpotensi untuk menaiki podium dalam perlumbaan seterusnya.

Pengerusi RMSIR 2025, Irsyad Ismail berkata pencapaian tersebut amat memberangsangkan meskipun keadaan angin pada hari perlumbaan agak mencabar.

1911 PP SKN RMS PRESTASI RMSIR 2025 2Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, bersama kru kapal layar Maduzi beraksi dalam perlumbaan Inshore Races sempena Kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) ke-35 di perairan Pulau Pinang/BERNAMA

“Prestasi Tuanku Raja Muda Selangor sangat baik. Baginda bermula di tempat keempat dan kini dalam kedudukan untuk berada di podium, iaitu tempat ketiga. Namun, ini masih awal dalam Raja Muda Regatta. Kita masih berada di Pulau Pinang dan masih ada beberapa perlumbaan lagi yang akan menentukan kedudukan terakhir,” katanya kepada RTM ketika ditemui di Straits Quay, Tanjung Tokong, di sini.

Perlumbaan selama sembilan hari yang bermula pada 14 November lepas membabitkan 23 pasukan dan bakal berakhir di Pulau Pinang pada Khamis sebelum penamat rasmi di Langkawi.

RMSIR yang pertama kali dianjurkan pada 1990 merupakan regata kedua tertua di Asia dan dicetuskan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, ketika baginda masih bergelar Raja Muda Selangor.

Hey there! Ask me anything!