RTG cadang latihan bersama BAM–profesional, tingkat daya saing atlet

KUALA LUMPUR, 17 November – Jawatankuasa Road To Gold (RTG) mencadangkan agar pemain badminton di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjalani sesi latihan bersama pemain profesional bermula awal tahun hadapan bagi meningkatkan tahap daya saing atlet negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata kerjasama itu dilihat sebagai langkah strategik untuk mewujudkan persekitaran latihan yang lebih kompetitif, memandangkan kedua-dua kumpulan atlet tersebut berada dalam program RTG.

Beliau menjelaskan RTG sedang membangunkan ekosistem latihan yang sesuai, termasuk penyediaan gelanggang khas bagi memastikan sesi latihan bersama dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.

“Sebelum temasya Paris, kita telah meluluskan keperluan sparring partner untuk atlet RTG. Namun pada masa yang sama, kerjasama antara atlet BAM dan pemain profesional dalam negara mampu memenuhi keperluan tersebut.

“RTG kini sedang memperincikan penyediaan kemudahan tersebut dan berbincang dengan BAM untuk memastikan pelaksanaannya direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Corporate Hero Century Sdn Bhd (PACE) di sini, hari ini.

Tambahnya, hanya atlet di bawah program RTG akan terlibat dalam sesi berkenaan bagi memastikan potensi latihan dimanfaatkan sepenuhnya.

“Ranking mereka hampir setara. Jika peluang latihan sebegini tidak digunakan, ia merupakan satu pembaziran,” ujarnya.

Mengikut senarai terkini RTG, pemain BAM dalam program tersebut terdiri daripada beregu lelaki Aaron Chia–Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong–Tee Kai Wun, beregu wanita Pearly Tan–M. Thinaah, serta beregu campuran Chen Tang Jie–Toh Ee Wei.

Barisan profesional pula melibatkan beregu lelaki Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani dan beregu campuran Goh Soon Huat–Shevon Lai Jemie.

Dalam perkembangan berkaitan, Hannah turut merakamkan penghargaan kepada PACE atas penajaan 1,000 set pakaian sukan bagi keperluan atlet negara sepanjang tempoh setahun.

Hey there! Ask me anything!