Serena Williams disenaraikan dalam program ujian antidoping, nafi kemunculan semula

NEW YORK, 3 Disember – Bekas juara tenis 23 kali Grand Slam, Serena Williams, kembali disenaraikan dalam program ujian antidoping tetapi menafikan bahawa langkah itu ada kaitan dengan kemungkinan beliau akan kembali beraksi di gelanggang yang pernah didominasi hampir dua dekad.

Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA) mengesahkan bahawa Williams, yang tidak bersaing sejak U.S. Open 2022, kini termasuk dalam senarai pemain dalam program ujian, yang memerlukan individu memberikan lokasi harian mereka dan bersedia untuk ujian rawak pada bila-bila masa.

Berita mengenai penyertaan Williams, 44 tahun, yang mula dilaporkan The Athletic, mencetuskan spekulasi tentang kemungkinan kemunculan semula beliau. Bagaimanapun, legenda tenis itu menafikan sebarang rancangan untuk kembali menerusi media sosial.

“Omg yall I’m NOT coming back. This wildfire is crazy,” tulis Williams di X.

Nama Williams juga muncul dalam senarai pemain bersara di laman web ITIA, dan beliau hanya boleh kembali ke kejohanan berdaftar selepas membuat dirinya tersedia untuk ujian di luar pertandingan sekurang-kurangnya enam bulan.

Minggu lalu, bekas pemain nombor satu dunia itu berkongsi beberapa gambar di Instagram menunjukkan dirinya berada di gelanggang tenis bersama anak bongsunya, Adira River, yang dilahirkan pada Ogos 2023.

Pada Ogos 2022, menjelang U.S. Open terakhirnya, Williams mengumumkan dalam artikel Vogue bahawa beliau sedang “beralih fokus daripada tenis”.- REUTERS

Hey there! Ask me anything!