SK Serdang juara Piala Raja Muda Selangor, bawa pulang RM5,000

SHAH ALAM, 6 Disember – Sekolah Kebangsaan (SK) Serdang muncul juara Piala Raja Muda Selangor selepas menewaskan SK Ulu Yam Bharu, 2-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Padang Latihan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor di Seksyen 5, di sini, hari ini.

Dalam aksi itu, penyerang SK Serdang, Muhammad Arif Mohd Radzuan muncul pemain terbaik perlawanan dengan meledak kedua-dua gol selain muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan 11 gol.

Muhammad Arif meluahkan kegembiraannya selepas berjaya membantu pasukan itu menjadi juara kejohanan edisi ke-36 itu.

“Syukur alhamdulillah kerana kami berjaya mendapatkan kemenangan dan menjadi juara. Kami bangga sebab berjaya mendapatkan kemenangan 2-0 ke atas SK Ulu Yam Bharu dan akan terus berusaha mengekalkan kejuaraa untuk tahun hadapan.

“Dalam perlawanan ini saya sangat yakin dengan setiap peluang di hadapan pitu gol dan daripada sembilan peluang, dua gol dapat masuk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat permainan.

Dalam pada itu, difahamkan, Muhammad Arif sebelum ini mendapat tawaran untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar JDT.

“Saya akan yakin akan terus bersinar di sana (JDT) dan berusaha untuk beraksi cemerlang untuk mendapatkan prestasi terbaik serta membanggakan nama JDT dan nama Selangor,” katanya.

Sementara itu, Jurulatih SK Serdang, Mohammad Ali berkata, pihaknya akan berusaha mengekalkan kejuaraan bagi edisi tahun hadapan walaupun sedar ia bukan sesuatu yang mudah.

“Alhmadulillah, pertama kali kami ke final Piala Raja Muda dan ia merupakan pulangan balik kepada murid kami kerana ramai yang cedera dan kami berusaha pulihkan pemain untuk aksi ini.

“Tahun hadapan kami ingin kekalkan kejuaraan, kami akan cuba,” katanya.

Kejayaan itu menyaksikan SK Serdang membawa pulang wang tunai RM5,000 manakala SK Ulu Yam Bharu membawa pulang RM4,000.

Hadiah kejohanan disampaikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sementara itu, SK Sungai Lang berjaya meraih tempat ketiga kejohanan selepas menundukkan SK Seri Pristana 2-1 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat yang berlangsung di SK Putra Heights 2 pada sebelah pagi.

Hey there! Ask me anything!