KUALA LUMPUR, 5 Disember- Skuad boling negara menambah satu lagi pingat perak dalam acara berpasukan wanita pada Kejohanan Boling Dunia di Hong Kong, hari ini.
Pasukan wanita dibarisi Sin Li Jane, Gillian Lim, Natasha Roslan, Nora Lyana Nastasia Norakmal, Adelia Nur Irwan Syazalee dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.
Pada aksi akhir, skuad negara terpaksa akur apabila tumpas 2-1 kepada Amerika Syarikat.
Segala-galanya tampak baik pada set pertama apabila skuad wanita berjaya memenangi perlawanan itu dengan 191 jatuhan pin berbalas 179.
Namun, Amerika Syarikat bangkit menguasai dua set berikutnya, 200-159 dan 199-185, sekali gus memastikan wakil negara berpuas hati dengan pingat perak.
Terdahulu, Malaysia turut meraih pingat perak dalam acara singles wanita menerusi Adelia Nur Irwan, selain pingat gangsa dalam acara doubles lelaki hasil gandingan Rafiq Ismail dan Muhammad Syazirol Shamsudin.- BERNAMA