Sukan Para Remaja Asia: MPM sasar perbaiki pencapaian edisi lepas

PUTRAJAYA, 5 Disember – Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) optimis kontinjen para remaja negara mampu mencatat keputusan positif pada Sukan Para Remaja Asia 2025 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula Ahad ini.

Presidennya, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, berkata sasaran utama adalah memperbaiki pencapaian edisi 2021 di Bahrain, yang menyaksikan Malaysia membawa pulang tiga emas, empat perak dan lima gangsa.

Menurut beliau, MPM tidak meletakkan sasaran pingat khusus, namun menyandarkan harapan kepada tiga sukan utama akuatik, powerlifting dan badminton sebagai penyumbang utama pungutan pingat negara.

“Untuk sasaran kali ini semestinya kita mahu lebih dari sebelum ini semasa di Bahrain dan kami tidak meletakan satu sasaran untuk mereka seperti kontijen tetapi setiap atlet dan persatuan para yang menghantar wakil tahu mereka perlu capai sasaran mereka,” katanya.

Beliau menyatakan perkara berkenaan selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara, di sini hari ini.

Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa persaingan sihat dalam kalangan atlet penting bagi memastikan hanya yang terbaik mewakili negara ke temasya antarabangsa.

Edisi kali ini menyaksikan 29 atlet negara menggalas cabaran dalam lapan acara merangkumi boccia, para badminton, memanah, ping pong, olahraga, renang, powerlifting dan taekwondo.

Hey there! Ask me anything!