THAILAND, 8 Disember – Skuad badminton lelaki negara menempah tempat ke pentas akhir acara berpasukan selepas menundukkan tuan rumah, Thailand 3-1 dalam aksi separuh akhir di Gimnasium Thammasat Rangsit, hari ini.
Kemenangan itu membuka peluang Malaysia menamatkan penantian 20 tahun untuk menghadiahkan pingat emas berpasukan lelaki, selepas kali terakhir muncul juara pada edisi 2005 di Filipina.
Malaysia akan berdepan juara bertahan, Indonesia, pada aksi akhir esok, yang turut melakar kemenangan 3-1 ke atas Singapura dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Dalam perlawanan hari ini, Thailand terlebih dahulu mendahului apabila pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao, tumpas kepada Kunlavut Vitidsarn 15-21, 15-21.
Aaron Chia dan Soh Wooi Yik/Foto BERNAMA
Namun, beregu nombor dua dunia, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, kembali menyamakan kedudukan selepas menewaskan gandingan Supak Jomkoh–Peeratchai Sukphun 21-18, 21-19 dalam pertemuan pertama kedua-dua pasangan.
Malaysia terus menguasai aksi apabila perseorangan kedua, Justin Hoh, tidak memberi ruang kepada Panitchaphon Teeraratsakul, mencatat kemenangan selesa 21-10, 21-17. Keputusan itu merupakan kemenangan kedua beliau ke atas pemain berkenaan setakat ini.
Kemenangan skuad negara akhirnya dimuktamadkan menerusi beregu kedua, Man Wei Chong–Tee Kai Wun, yang menewaskan Dechapol Puavannukroh–Pakkapon Teeraratsakul 21-14, 18-21, 21-17.