Sukan SEA 2025: Malaysia optimis tamat saingan dalam kelompok lima terbaik

KUALA LUMPUR, 3 Disember -Majlis Sukan Negara (MSN) optimis, kontinjen negara mampu menamatkan saingan Sukan SEA Thailand 2025 dalam kelompok lima terbaik susulan pengumuman sasaran 200 pingat.

Ketua Pengarahnya, Jefri Ngadirin menyifatkan, sasaran itu realistik, lebih-lebih lagi dengan kembalinya beberapa sukan tradisi negara pada temasya kali ini.

Menurut Jefri, skuasy, tenpin boling, berbasikal trek, menembak dan polo kembali dipertandingkan pada temasya yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember.

“Saya percaya kita mampu berada dalam kelompok lima terbaik dengan kembalinya sukan-sukan yang menjadi kekuatan kita seperti skuasy, tenpin boling dan berbasikal trek.

Kita seharusnya mencatat keputusan lebih baik berbanding edisi di Kemboja, namun semuanya bergantung kepada prestasi kontinjen kita di Thailand,” katanya dalam sidang media di sini.

Malaysia sebelum ini menamatkan Sukan SEA Phnom Penh 2023 di tempat ketujuh, iaitu pencapaian terburuk dalam sejarah penyertaan negara, sekali gus meningkatkan tekanan untuk memperbaiki kedudukan pada edisi kali ini.

Jefri turut mengingatkan bahawa saingan di Thailand dijangka lebih sengit kerana tuan rumah menyasarkan 241 pingat emas.

“Thailand menyasarkan hampir separuh daripada keseluruhan pingat emas. Ini luar biasa kerana kebiasaannya juara keseluruhan hanya mengutip sekitar 100 emas,” ujarnya lagi.

Hey there! Ask me anything!