SUKAN SEA 2025: Ragbi Malaysia tekad raih emas 7s lelaki

SUNGAI BULOH, 8 Disember – Ragbi Malaysia (MR) bertekad merampas semula pingat emas acara tujuh sebelah (7s) lelaki yang pernah dimenangi sewaktu edisi 2017, apabila turun beraksi pada Sukan SEA Thailand 2025.

Presidennya, Amir Amri berkata, pasukan mampu meraih kecemerlangan selepas menilai persiapan serta komitmen tinggi yang ditunjukkan skuad kebangsaan sebelum ini.

“Selepas kami mengadakan sesi pemantapan pasukan di Tasik Kenyir bersama skuad lelaki baru-baru ini, kami melihat kesungguhan dan komitmen para pemain sangat berbeza berbanding sebelum ini.

“Dengan semangat juang yang ditunjukkan untuk memburu pingat emas, saya cukup yakin satu kejutan akan berlaku di Bangkok,” katanya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan 7s yang akan beraksi di Sukan SEA Thailand di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sasaran bagi skuad wanita, beliau berharap pasukan kendalian Mohamad Faiz Samsukhidir mampu meraih pingat gangsa.

“Kita tahu skuad wanita akan berdepan cabaran sengit daripada pasukan Thailand yang berada pada tahap standard Asia.

“Skuad ragbi wanita Filipina dan Singapura juga membuat persiapan rapi untuk Sukan SEA Bangkok,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut berjanji untuk memberikan ganjaran kepada pasukan 7s yang berjaya membawa pulang pingat emas.

“Kami sedar pengorbanan para pemain sepanjang hampir dua tahun membuat persiapan ke Sukan SEA Bangkok. Jadi, sememangnya kita akan menyediakan insentif kemenangan sekiranya kedua-dua pasukan meraih pingat emas.

“Saya tidak mahu mengumumkan jumlahnya lagi, namun ia pasti lumayan sekiranya mereka menang emas,” katanya.

Malaysia akan membuka kempen menentang Singapura dan Filipina pada 13 Disember sebelum berdepan Laos pada 14 Disember.

Sementara itu, skuad wanita dijadual bertemu Singapura dan Filipina pada 13 Disember, diikuti perlawanan menentang Indonesia dan Thailand pada 14 Disember.

Hey there! Ask me anything!