Sukan SEA 2025: Skuad petanque yakin sumbang pingat emas di Thailand

KUALA LUMPUR, 5 Disember – Skuad Petanque negara menyatakan keyakinan tinggi untuk membawa pulang empat pingat pada Sukan SEA 2025 di Thailand, selaras dengan sasaran yang diumumkan oleh Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF), baru-baru ini.

Ketua jurulatihnya, Nasir Mohd Noor, berkata pasukan negara berada pada prestasi terbaik dan mempunyai peluang cerah untuk menyumbang pingat emas melalui acara triples campuran, yang dilihat sebagai acara utama mampu menghadirkan kejayaan untuk Malaysia.

“Atlet kita menunjukkan peningkatan dan berada pada kedudukan yang baik. Dari segi latihan pula, saya dapat lihat mereka mempunyai potensi besar untuk mencapai sasaran pingat, malah mungkin lebih daripada itu. Berdasarkan kejohanan yang telah kami sertai, saya yakin atlet-atlet ini mampu menyumbang pingat untuk pasukan Malaysia,” katanya ketika ditemui pada lawatan Timbalan Ketua Kontinjen Sukan SEA Thailand di Arena Petanque, di sini hari ini.

Sementara itu, atlet petanque negara, Saiful Bahri Musmin, optimis dapat menyumbangkan pingat emas kepada Malaysia meskipun akan beraksi dalam acara berbeza, iaitu triples campuran bersama gandingannya, Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali.

“Saya mengambil bahagian dalam acara triples campuran, dan saya mempunyai sasaran peribadi untuk membawa pulang pingat emas dalam acara tersebut buat pertama kali. Dari segi keserasian, tiada masalah kerana saya pernah beraksi bersama rakan sepasukan yang sama sebelum ini. Pada Sukan SEA Kuala Lumpur, saya dan Akmal pernah meraih pingat emas dalam acara doubles, manakala di Filipina kami juga menang emas bagi acara triples. Oleh itu, saya yakin tidak akan berdepan sebarang kesukaran untuk bermain dalam pasukan bertiga,” katanya.

Untuk rekod, pada Sukan SEA di Kemboja sebelum ini, pasukan petanque negara berjaya meraih satu pingat emas, satu perak dan tiga gangsa daripada keseluruhan 44 pingat yang dipertandingkan.

Hey there! Ask me anything!