KUALA LUMPUR, 7 Disember – Skuad badminton wanita negara mengesahkan sekurang-kurangnya satu pingat di Sukan SEA Thailand yang berlangsung di Bangkok selepas mara ke separuh akhir acara berpasukan dengan menumpaskan Vietnam 3-1, pada Ahad.
Beraksi di Universiti Thammasat, pasukan kebangsaan tidak bermula dengan baik apabila pemain perseorangan pertama, K Letshanaa, tewas kepada Nguyen Thuy Linh dari Vietnam 21-15, 10-21, 21-23.
Bagaimanapun, skuad negara bangkit menyamakan kedudukan hasil kemenangan Wong Lin Ching ke atas Vu Thi Trang 21-14, 20-22, 21-14.
Momentum itu diteruskan menerusi gandingan beregu wanita kebangsaan, Pearly Tan-M Thinaah, yang menumpaskan pasangan Pham Thi Dieu Ly-Pham Thi Khanh 21-12, 21-8, sekaligus membolehkan Malaysia mendahului 2-1.
Kemenangan negara kemudian dipastikan oleh pemain perseorangan ketiga, Siti Zulaikha Azmi, selepas menewaskan Bic Phuong Bu 21-19, 21-19.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam acara berpasukan wanita adalah pada edisi 2019 di Manila dengan berkongsi pingat gangsa bersama Singapura.
Pencapaian terbaik pasukan wanita negara dalam temasya dwitahunan itu adalah pada edisi 2009 apabila bergelar juara.

