KOTA DAMANSARA, 29 November– Program kepimpinan bola sepak Super Seven dilancarkan petang tadi, bertujuan membentuk pemain yang bukan sahaja mahir di padang, tetapi juga berkarakter dan berjiwa pemimpin.
Prinsipal Super Seven, Tabah Sazwan Othman berkata Super Seven berperanan sebagai platform pembangunan kepimpinan dan komunikasi melalui bola sepak, menghubungkan pemain, komuniti dan budaya di bawah satu semangat yang sama.
“Kajian menunjukkan persekitaran yang dibentuk pada hari ini, disokong oleh peralatan, sumber, dan peranan ibu bapa, adalah kritikal dalam memupuk motivasi peribadi yang tinggi.
Penggunaan insentif seperti “Bonus Trip” yang diterapkan dalam SuperSeven bertindak sebagai nilai tambah utama, memperkukuh persekitaran sokongan dan secara langsung meningkatkan dorongan motivasi peribadi peserta,” kata Tabah pada Majlis Pelancaran Superseven 2025/2026, di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan oleh Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap di Encorp Strand Mall, Kota Damansara, Selangor.
Program tersebut menekankan nilai disiplin, hormat, integriti, kerjasama, ketahanan, ketekunan dan kecemerlangan.
Ia juga menekankan fair play, kerjasama yang menyatukan, ketahanan yang menguatkan, serta kecemerlangan yang memberi inspirasi kepada masyarakat.
Tambah Tabah, program itu turut merancang Super Seven Malaysia Tour, satu jelajah yang membawa pengalaman program ke seluruh negara yang akan bermula Disember ini.