Tang Jie-Ee Wei rangkul kejuaraan Terbuka Australia, gelaran kedua musim ini

KUALA LUMPUR, 23 November – Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei menamatkan penantian panjang untuk meraih gelaran Jelajah Dunia BWF musim ini apabila muncul juara Terbuka Australia 2025 di Sydney, hari ini.

Sebagai pilihan utama kejohanan, gandingan nombor empat dunia itu mempamerkan aksi meyakinkan untuk menewaskan pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah–Felisha Pasaribu, dengan kemenangan straight set 21-16, 21-11 dalam masa 42 minit.

Kemenangan itu turut melengkapkan rekod bersih 5-0 ke atas beregu ranking ke-11 dunia berkenaan.

Kejayaan ini amat bermakna buat pasangan negara kerana kali terakhir mereka bergelar juara ialah pada Terbuka Korea 2024.

Ia juga penampilan final ketiga mereka musim ini selepas mara ke pentas akhir di Masters China pada September lalu.

Momentum kemenangan di Sydney hadir pada masa tepat, ketika Tang Jie–Ee Wei kini menjadi antara sandaran utama Malaysia untuk memburu pingat di Sukan SEA Thailand di Bangkok kelak.

Keputusan ini menyaksikan Tang Jie-Ee Wei meraih hadiah kemenangan sebanyak AS$37,525 (RM156,000).

Mereka turut menjadi beregu campuran kedua Malaysia bergelar juara di Australia.

Kali terakhir beregu campuran Malaysia bergelar juara ialah tahun 2003 menerusi gandingan Ng Kean Kok dan Chor Hooi Yee. Pada ketika itu, Australian Open dikenali sebagai Australian International.

Hey there! Ask me anything!