RAWANG, 5 Disember – Seramai 40 wakil media tempatan dan pempengaruh golf memeriahkan edisi sulung Kejohanan Piala Media 2025 anjuran Tasik Puteri Golf & Country Club (TPGCC) sebagai usaha merapatkan kolaborasi antara media tradisional dan pencipta kandungan digital.
Acara berkenaan berlangsung di TPGCC yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Padang Golf Awam Terbaik dan Destinasi Golf Pelancongan Terbaik Malaysia pada Tourism Industry Awards 2025.
Penganjuran kali pertama itu menggunakan format media menentang pempengaruh yang berjaya mencetuskan persaingan mesra serta meningkatkan interaksi antara peserta daripada dua ekosistem media berbeza yang kini bergerak seiring dalam industri sukan.
Aksi kompetitif menyaksikan pasukan pempengaruh menjuarai Kejohanan Piala Media 2025 dengan 328 mata, manakala pasukan media tempatan memberikan tentangan sengit sebelum menamatkan saingan dengan 318 mata.
Pengurus Besar TPGCC, Nor Afendi Mohd. Razlan berkata, penganjuran piala media itu bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya berfungsi sebagai platform memperkukuh jaringan profesional antara media tradisional dan pencipta kandungan digital.
“Objektif kejohanan tersebut adalah bagi mengeratkan hubungan, memupuk kerjasama serta menonjolkan peranan penting media dalam membentuk industri golf moden.
Nor Afendi turut merakamkan penghargaan kepada semua wakil media dan pempengaruh yang hadir, sambil menyifatkan penyertaan itu sebagai bukti komitmen bersama dalam memajukan industri golf melalui pendedahan yang lebih kreatif dan efektif.
Susulan sambutan positif, TPGCC turut mengumumkan Kejohanan Piala Media akan dijadikan acara tahunan bermula tahun hadapan dengan penganjuran lebih dinamik serta penglibatan media yang lebih meluas bagi memastikan ia terus menjadi antara acara kemuncak dalam kalendar golf dan media negara.
Ketua Pasukan Media, Ismadi Manap (dua dari kanan) bersama Ketua Pasukan Pempengaruh, Nor Akmar Ahmad @ Bangkema (dua dari kiri) memegang trofi Kejohanan Piala Media 2025. Turut serta Pembantu Ketua Pasukan Media, Mahathir Mohamad Sidi (kiri) dan Pembantu Ketua Pasukan Pempengaruh, Firdaus Mazlan @ The Pidot