KUALA LUMPUR, 20 November – Tiga wakil Malaysia termasuk beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengesahkan kemaraan ke pusingan suku akhir Terbuka Australia 2025 selepas menewaskan lawan masing-masing hari ini.
- Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke suku akhir selepas menewaskan gandingan Taiwan dalam dua set.
- Pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun layak ke suku akhir selepas kemenangan mudah menentang lawan Denmark.
- Raymond Indraa-Nikolaus Joaquin menyingkirkan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri untuk melayakkan diri.
- Goh Sze Fei-Nur Izzuddin berjuang keras menang tiga set untuk mendapatkan slot suku akhir.
- Pertandingan suku akhir akan menyaksikan beberapa pertemuan antara rakan senegara dan gandingan antarabangsa.
Pada pusingan kedua yang berlangsung di Sydney Olympic Park, Tang Jie-Ee Wei selaku pilihan utama kejohanan tidak berdepan masalah untuk menewaskan gandingan Taiwan Liu Kuang Heng-Jheng Yu Chieh 21-16, 21-14, sekali gus akan bertemu rakan senegara Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan.
Pasangan beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula menewaskan gandingan Denmark Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer 21-11, 21-16, bagi menempah pertemuan menentang Raymond Indraa-Nikolaus Joaquin dari Indonesia.
Terdahulu, Raymond-Nikolaus menyingkirkan satu lagi beregu lelaki negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dalam laluan ke suku akhir.
Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan slot ke suku akhir dengan menewaskan pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han 21-23, 21-17, 21-10.
Pilihan kedua kejohanan itu dijadual bertemu gandingan profesional gabungan dua negara, Goh V Shem-Choi Sol Gyu. -BERNAMA