KUALA LUMPUR, 11 September – Pertembungan sesama wakil negara di kejohanan badminton Terbuka Hong Kong 2025 memihak kepada beregu lelaki, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King.
Gandingan itu mara ke suku akhir selepas menundukkan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri 21-17, 21-19 dalam tempoh 39 minit.
Sekali gus menempah pertemuan getir menentang Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India, esok.
Arif-Roy King yang kini menghuni ranking ke-20 dunia itu dijangka berdepan cabaran sukar menentang Satwiksairaj-Chirag, antara beregu paling konsisten sepanjang tahun ini.
Kedua-dua beregu belum pernah bertemu sebelum ini, menjadikan aksi suku akhir esok sebagai pertemuan sulung mereka di pentas antarabangsa.
Untuk rekod, Arif-Roy King mara ke pusingan kedua selepas mencipta kejutan menyingkirkan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark, Selasa lalu.
Hon Jian-Haikal pula sebelum itu melakar kemenangan ke atas beregu Korea Selatan, Kim Gi-Jung-Kim Sa-Rang, sebelum langkah mereka terhenti di tangan rakan senegara.