KUALA NERUS, 6 Disember – Perlawanan sengit di Stadium Sultan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam tadi menyaksikan Terengganu FC dan Kuching City FC berkongsi satu mata, selepas seri satu sama.
Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali menghargai usaha pemainnya walaupun gagal mencapai sasaran yang ditetapkan oleh beliau.
”Sebenarnya hajat saya malam tadi adalah untuk mendapatkan tiga mata. Separuh masa pertama kami agak kurang agresif, tetpai masuk masa kedua, pemain cuba bermain lebih terancang.” katanya.
Jelas beliau, pemain telah berusaha sehabis baik, namun mengakui Kuching City FC merupakan pasukan lawan yang kuat.
Badrul juga mengakui, untuk berada antara lima pasukan terbaik dalam kedudukan liga musim ini, pasukan memerlukan pemain baharu, terutama tenaga import berwibawa.
Sementara itu bagi Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, pasukannya kini dalam usaha menambah baik dan mengatasi kelemahan beberapa ruang posisi dalam menghadapi perlawanan seterusnya.
:”Perlawanan malam ini bukan mudah, selepas bertermu Johor Darul Takzim, pasukan terpaksa beri tenaga maksimum, walaupun ada tiga hari untuk pulih, bagaimanapun saya gembira dengn sikap pemain.” jelasnya.
Selepas berkongsi mata, kedua-dua pasukan itu kini menilai secara strategi untuk menghadapi baki pusingan kedua pada perlawanan Liga Super musim ini.