WPIMC 2.0 kekal integriti, tampilkan atlet tulen

KUALA LUMPUR, 6 Disember – Penganjuran Wilayah Pahlawan Kejuaraan Antarabangsa Muay Thai 2.0 (WPIMC) tampil dengan pendekatan lebih tegas apabila hanya membuka gelanggang kepada atlet tulen, berbeza daripada trend sebahagian acara bela diri yang semakin cenderung mengetengahkan selebriti bagi tujuan tarik penonton.

Setiausaha Agung Kelab Muay Thai Pahlawan Malaysia, Dr Noor Azam Samsudin menegaskan setiap peserta melalui proses tapisan ketat bagi memastikan hanya fighter sebenar diberi ruang beraksi sekali gus mengekalkan integriti sukan tersebut.

“Objektif Pahlawan ni memang nak mempergiatkan sukan bela diri dan mengangkat fighter-fighter yang sebenar. Kita menolak penglibatan selebriti dalam gelanggang kita berlawan secara sihat, di luar kita berkawan-kawan,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau menjelaskan edisi kedua Pahlawan turut membawa pembaharuan dengan elemen hiburan, penggunaan LED dan sistem audio berimpak tinggi, selain sokongan awal daripada Tourism Malaysia.

Kerjasama itu penting bagi memanfaatkan momentum Tahun Melawat Malaysia 2026, susulan sukan Muay Thai mempunyai komuniti antarabangsa yang besar dan berupaya menjadi tarikan pelancong dari negara-negara yang aktif dalam bela diri tersebut.

Dr Noor Azam turut menegaskan kejohanan berkenaan meneruskan kempen antibuli yang digerakkan sejak edisi pertama, sebagai usaha menghapuskan stigma lama yang mengaitkan Muay Thai dengan gejala gengsterisme.

Pahlawan 2.0 juga sekali lagi menampilkan barisan atlet profesional termasuk bekas peserta One Championship, jaguh tempatan serta pemenang pingat kejohanan antarabangsa.

Hey there! Ask me anything!